Sebagai tanda penghargaan dan bagi meraikan para alumni yang kembali ke universiti sempena Istiadat Konvokesyen 19 UniMAP, Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama Persatuan Alumni dan Koperasi Alumni UniMAP telah menganjurkan program Alumni Gathering & Kenduri Persatuan Alumni UniMAP 2024 pada 10 November 2024. Acara ini diadakan di Tasik Alumni, Kampus Pauh Putra, dengan suasana santai dan penuh keakraban.
Program yang berlangsung dari 5.00 petang hingga 8.30 malam ini berjaya mengumpulkan hampir 250 orang tetamu, terdiri daripada graduan, alumni pelbagai kohort, ahli keluarga, serta warga universiti, khususnya mahasiswa dan mahasiswi UniMAP.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran pengurusan tertinggi UniMAP, termasuk YBhg. Prof. Dato’ Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP, YBrs. Prof. Dr. Mohd Mustafa Abdullah, Timbalan Naib Canselor HEPA, serta Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi. Turut hadir, Prof. Dr. Khairul Azwan Ismail, ahli Lembaga Pengarah Universiti, bersama Timbalan Dekan HEPA dan Penyelaras Alumni Fakulti. Kehadiran mereka yang meluangkan masa bersama alumni dan tetamu meskipun di tengah kesibukan konvokesyen telah memeriahkan lagi suasana majlis.
Sebagai penghargaan, majlis turut menyampaikan mock cenderahati daripada penaja-penaja yang telah menyokong Program Alumni Homecoming 2024, iaitu Persatuan Alumni UniMAP sebanyak RM2,000, Luxe Motors dengan sumbangan sebanyak RM1,900, Koperasi Alumni UniMAP sebanyak RM800, dan Lelangit sebanyak RM500. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini. Jutaan terima kasih juga kepada penyumbang-penyumbang Tabung Wakaf Alumni UniMAP.
Semoga program seperti ini terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti, serta menggalakkan lebih ramai alumni kembali menyumbang demi pembangunan bersama UniMAP.