Alumni UniMAP Bantu Asnaf

PAUH PUTRA, 1 Julai: Bahang Aidilfitri semakin terasa, ramai orang sibuk dalam melakukan persiapan di minggu terakhir Ramadhan, namun berlainan bagi pula situasi bagi insan yang kurang berkemampuan.

Keadaan itu menyebabkan Unit Pembangunan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Yayasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpanggil untuk berkongsi keceriaan dengan membantu golongan asnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terpilih.

Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan derma dari warga UniMAP.

“Program ini melibatkan empat keluarga yang kurang berkemampuan dan dua keluarga OKU di sekitar Perlis.

“Saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba tidak berapa lama lagi,”katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Barakah Ya Ramadhan Bersama Alumni dan Yayasan UniMAP di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Dekan HEPA UniMAP, Dr. Ummi Naiemah Saraih dan Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Antara sumbangan yang diberikan kepada keluarga tersebut berupa barangan keperluan harian, kuih raya dan duit raya RM200.

Sementara itu bagi salah seorang penerima, Rosseli Mat, 78, amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan kepada anaknya yang kelainan upaya, Norfizah Rosseli, 52.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan belanja kami untuk membeli lampin pakai buang yang digunakan anak kami ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak UniMAP yang sudi membantu keluarga kami dalam menyediakan persiapan menyambut Aldilfitri,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *